Oleh Subky Latif
BERIKUTAN penghinaan ke atas Islam oleh Alvin Tan dan Vivian Lee, maka ada yang menimbulkan kembali sendaan Dr Mahathir Mohamad tentang ada pisau cukur atau tidak pada zaman Nabi s.a.w. yang dikatakan berlaku dalam majlis tertutup Majlis Agama Kebangsaan tahun 1997.
Kesimpulan daripada celoteh Mahathir itu, Nabi s.a.w. dan orang-orang zaman itu berjanggut dan bermisai ialah kerana pisau cukur belum ada.
Rencana ini tidak bercadang untuk menyentuh akidah dan murtad seseorang, tetapi hendak menyatakan betapa terhadnya pengetahuan Dr Mahathir tentang kewujudan teknologi pada zaman silam sekurang-kurangnya hingga ke zaman Nabi s.a.w.
Teknologi pisau cukur moden seperti Gillette memang tidak ada, tetapi pisau cukur memang ada.Bentuk mana pisau cukur dan gunting tidak diketahui, tetapi alat mencukur sudah ada. Buktinya satu daripada rukun haji dan umrah seseorang mesti bertahlul iaitu bercukur atau memotong sebahagian daripada rambut.
Kerana Nabi s.a.w. bertahalul dengan mencukur kepala, maka ramai orang laki-laki memilih mencukur kepala, tetapi kalau sekadar menggunting sebahagian rambut juga memadai. Bagaimana pun orang perempuan tidak pernah pula bercukur, sekadar mengerat sedikit daripada rambutnya.
Sesudah tahalul itu dilakukan maka barulah boleh masing-masing menanggal pakaian ihram.Setelah baginda bersetuju menangguhkan umrah berikutan perjanjian Hubaidiyah, baginda memerintahkan rombongannya bertahalul bagi menanggalkan pakaian ihram sebelum pulang balik ke Madinah. Masing-masing enggan menunaikan arahan Nabi.
Enggan menurut perintah adalah melanggar Islam.Baginda pun masuk ke khemahnya mengadu kepada isterinya, semua orang tidak mahu bertahalul. Nasihat isterinya ialah agar baginda sendiri bercukur dulu, lepas itu ia akan diikuti oleh kesemuanya. Maka baginda pun keluar bercukur, apabila dilihat oleh semua, mereka pun bercukur.
Masa itu mereka bukan di rumah masing-masing di Madinah, tetapi jauh dari Madinah.Tetapi mereka bercukur dan memotong rambut. Masing-masing ada membawa alat bercukur.Bukan sekadar ada satu atau dua alat cukur saja. Jumlah mereka di situ beribu-ribu orang. Kalau sekadar satu dua pisau cukur saja yang ada, berapa lama mereka hendak menunggu giliran.
Dalam masa yang tidak lama, semuanya selesai bertahalul. Dan dalam haji wida’ beratusratus ribu jemaah haji bersama baginda. Jika pisau cukur sikit, maka bertahun mereka menunggu giliran bercukur. Pisau cukur pula bukanlah tajam terus menerus.
Pisau Gillette pun selepas diguna beberapa orang, ia pun tumpul. Kena ganti yang lain. Apabila pisau cukur itu tumpul, ia mesti diasah pula bagi digunakan untuk orang lain. Bayangkan orang terpaksa menunggu kiranya pisau cukur terhad.
Jika pisau cukur tidak ada, dengan alat apa yang Nabi s.a.w. guna untuk tahalul? Guna kapakkah?Guna parang panjang, golok atau pedang?Orang tidak kerat rambut dengan kapak atau parang sembelih unta. Lebih senang potong kepala orang daripada potong rambutnya dengan semua alat pemotong itu.
Mengikut sunnah Nabi, baginda simpan janggut tetapi cukur misai. Cuba bayangkan bagaimana baginda hendak mencukur misainya kalau yang ada hanya kapak dan pedang? Adakah kapak atau pedang hendak gunakan kepada muka baginda yang mulia itu. Baginda mencukur misai itu bukan sekali seumur hidup, tetapi tiap-tiap pagi Jumaat.
Untuk maklumat Dr Mahathir, satu daripada sunnah Nabi itu ialah mencukur bulu ari-ari. Kita tidak tahu apakah Barack Obama dan Mao Zedung yang tidak pernah menyimpan janggut dan misai itu selalu mencukur bulu ariari?Jika mereka juga cukur bulu ari-ari, maka banyak alat cukur moden sekarang.
Habis bagaimana alat pencukur yang Nabi guna untuk mencukur bulu ari-arinya? Parang besar mana yang dibawa ke bilik air?
Bukan baginda saja cukur bulu ari-ari, sekalian isterinya juga cukur bulu ari-ari.Apabila sekalian Muhajirin dan Ansar di Madinah – laki-laki dan perempuan mencukur bulu ari-ari tiap-tiap pagi Jumaat atau sekurang-kurangnya sekali sebulan, maka alat cukur itu adalah barang yang boleh dapat dalam pasaran Madinah pada masa itu.
Rambut boleh dicukur dengan pisau, tetapi rambut tidak boleh kerat atau dipotng dengan pisau.Tak putus rambut kalau dikerat dengan pisau. Ia mesti digunting.
Bagaimana orang zaman Nabi hendak potong rambut kalau tidak ada gunting? Bukan saja pisau cukur sudah ada pada masa itu, gunting pun ada.
Satu daripada amalan setiap orang Islam dan juga orang Yahudi ialah berkhatan. Berkhatan tidak boleh menggunakan pemotong yang tumpul. Ia mesti menggunakan pisau atau gunting yang tajam. Kalau guna alat yang tumpul nanti alat kelamin boleh tercabut.Menggunakan alat tajam, mempermudah kerja mengkhatan atau mengurangkan rasa sakit.
Bagi meminimumkan rasa sakit itu Nabi mensyaratkan hendak menyembelih kambing atau ayam, mesti pisau tajam. Jika penyembelih tumpul digunakan ia menzalimi binatang sembelihan. Berdosa pula.
Bercukur dan mencukur bulu ari-ari itu bukan sekadar berlaku pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. saja, bahkan sudah dibuat oleh Nabi Ibrahim a.s. Nabi Ibrahim a.s. sudah membiasakan memotong kuku. Dengan apa kuku dipotong? Kapak dan golok?
Mestilah ada alat yang tajam. Kuku tidak boleh dipotong dengan alat yang tumpul.Zaman Nabi s.a.w. berlaku selepas berapa ribu tahun selepas Nabi Ibrahim a.s. Kerat kuku, berkhatan dan cukur bulu ari-ari telah berlaku lebih lama daripada zaman Nabi.
Bagaimana Dr Mahathir tidak boleh tahu hal-hal ini? Dia bukan seorang yang tidak membaca. Dia bukan orang yang tidak tahu berfikir. Dia adalah kutu buku dan dia kaki fikir.
Adakah dia tidak pernah menunaikan haji dan umrah? Jika pernah haji dan umrah, dia tentu mengalami tahalul bagi membebaskan diri melakukan apa yang tidak dibebaskan semasa berihram.
Jika dia pernah bertahalul, maka sepatutnya dia tahu bahawa amalan itu bukan baru dalam syarat haji dan umrah. Ia sudah dibuat dalam zaman Nabi s.a.w. dan patut dia fikir dengan apa Nabi s.a.w. bercukur dan potong rambut dulu?
Bacaannya bukan sekadar tentang cacing kerawit sebagai penyakit manusia dan makanan berzat saja, sejarah juga dia tentu baca.Bagaimana dia tidak ada maklumat tentang alat-alat cukur pada zaman dulu?
Mungkin pada zaman batu orang tidak bercukur, tetapi Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah orang dari zaman batu. Mereka adalah mewakili manusia yang sudah tahu bercukur dan mestilah ada alat cukur yang sesuai pada masanya dan tidaklah ia pelik bagi orang zaman itu.
Sebagai orang Melayu yang tidak tahu bahasa Arab, kalau kita kaji tentang sirah Nabi, mungkin kita tahu tentang Nabi bercukur selepas perjanjian Hidaibiyah, tetapi orang Melayu dulu sudah baca Hikayah Nabi Bercukur. Hikayat itu sudah ada sebelum Mahathir lahir.
Dengan hikayat itu kita sudah tahu bahawa Nabi sudah ada pengalaman bercukur. Tidak perlu ditanya apa alat yang digunakannya, tetapi kita tahu baginda pernah bercukur. Baginda simpan janggut bukan kerana tidak ada pisau cukur, tetapi mesti ada sebab baginda simpan janggut tetapi tidak bermisai.
Sekarang bekas Perdana Menteri itu tentu puas hati, adanya hujah pisau cukur sudah ada pada zaman Nabi.
No comments:
Post a Comment