Posted on Saturday, July 06 @ 11:09:30 MYT by paktam
Oleh A Kadir Jasin
SEJAK (Tun) Dr Mahathir Mohamad mempopularkan istilah dilema melalui bukunya “Dilema Melayu” lebih 40 tahun lalu, ia telah menjadi kata kunci dalam banyak permasalahan dan keadaan.
Yang terbaru, dilema menjadi kata kunci kepada pemilihan kepemimpinan Umno. Banyak pemimpin, perwakilan dan ahli Umno dikatakan dalam dilema.
Akibat dilema itu, banyak pemimpin Umno telah menjadi hipokrit, bermuka-muka dan lidah bercabang. Minta ampun kalau kasar bunyinya.
Di khalayak dan di hadapan media massa mereka setuju cadangan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan, kononnya untuk mengelak perpecahan. Di belakang mereka mengomel, mengutuk dan mengata. Mereka bantah cadangan dua jawatan teratas tidak dipertandingkan.
Di bawah peraturan baru pemilihan, calon yang hendak bertanding perlu, secara terbuka, menyatakan jawatan mana menjadi pilihan.
Buat Tawaran Terbuka
Kalau teruk sangat penyakit Koro (baca di sini) yang mereka alami - dalam hati meronta-ronta hendak bertanding jawatan tertentu, tetapi takut membuka mulut - mungkin ada satu jalan keluar, iaitu mereka buat kenyataan umum mengatakan mereka bersedia bertanding mana-mana jawatan yang dicalonkan.
Cuma bahayanya adalah perwakilan mungkin tidak faham hasrat sebenar mereka. Silap-silap jadi kacau. Misalnya, dalam hati meronta-ronta hendak bertanding Presiden atau Timbalan Presiden, tapi dicalonkan bertanding Naib Presiden saja.
Atau mereka boleh kata: “Oleh sebab Umno adalah parti yang mengamalkan demokrasi dan saya menghormati hak ahli, maka dengan ini saya menyatakan bahawa jawatan yang saya pegang boleh dicabar oleh sesiapa saja.”
Apabila penyandang berdiam diri, orang ramai mungkin buat kesimpulan penyandang tertentu tidak mahu dicabar atau takut dicabar. Kita faham bahawa yang paling teruk hadapi dilema (kalau beliau dalam delima) adalah orang nombor dua.
Orang nombor satu tentulah akan pertahan jawatannya kecuali dia bercadang untuk bersara. Keputusan hendak cabar atau tidak adalah di tangan orang nombor dua. Dalam konteks pemilihan Umno kali ini, orang itu adalah Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden.
Adakah beliau dalam dilema atau beliau akan mencabar Presiden, Mohd Najib Abdul Razak?
Umum tentu masih ingat peranan Muhyiddin dalam gerakan mempercepatkan peletakan jawatan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang sekali gus menaikkan Mohd Najib selepas Abdullah mencatat pencapaian buruk dalam PRU 2008.
Adakah Muhyiddin yang menunjukkan pintu keluar kepada Abdullah yang memenangi 140 kerusi Parlimen terlepas pandang bahawa prestasi Mohd Najib lebih buruk daripada itu?
Soalan yang harus dijawab oleh kepemimpinan dan keahlian Umno adalah masa depan dan hala tuju parti itu. Pemimpin Umno sering mendakwa bangsa Melayu, agama Islam dan negara bergantung kepada Umno – demi bangsa, agama dan negara!
Kalau mereka ikhlas terhadap kenyataan itu dan tidak memikirkan kepentingan diri mereka sahaja, mereka tentu tahu dan berani menyatakan secara terbuka siapa yang layak dan boleh diharapkan untuk melaksanakan tugas berat demi Melayu, agama Islam dan negara.
Mereka perlu berani mengakui siapa yang sebenarnya menyelamatkan Umno dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu – adakah Presiden Umno atau penyokong Umno di luar bandar yang bimbang apa akan terjadi kepada orang Melayu kalau Pakatan Rakyat menang dan DAP menjadi parti terkuat?
Apakah yang ditonjolkan dalam pilihan raya lalu – panji-panji Umno, agenda Melayu dan ekonomi luar bandar atau 1Malaysia, “Sokong Saya Undi BN” dan Janji Ditepati?
Siapakah yang diutamakan dan ditonjolkan sebagai penyelamat Barisan Nasional ketika PRU – Melayu, Cina atau India?
Perwakilan dan ahli Umno wajib fikirkan semua ini kalau mereka komited kepada idealisme dan slogan demi bangsa, agama dan negara.
Ironinya, hari ini, banyak orang bukan Melayu yang Perdana Menteri tuduh sebagai penyebab “tsunami Cina” pada PRU lalu, mahu Mohd Najib kekal sebagai Perdana Menteri.
Tiba-tiba mereka “yakini” 1Malaysia dan sokong Mohd Najib kerana beliau dianggap “Malaysia first” dan transformasi beliau menguntungkan mereka. Sebaliknya mereka momokkan Muhyiddin kerana dilaporkan berkata beliau “Malay first”.
Secara tidak disedari atau disengajakan, hakikat yang tidak diperkatakan adalah tidak seorang pun warganegara Malaysia dilahirkan sebagai berbangsa “Malaysian”. Kita sama ada dilahirkan Melayu, Iban, Kadazan, Cina, India atau suku-suku kaum lain. Dan sepanjang hayat kita, fakta bangsa dan kaum penting. Sebab itulah Melayu dan Bumiputera mempertahankan keistimewaan mereka manakala orang Cina dan India mati-matian mempertahankan bahasa dan sekolah mereka.
Tetapi oleh kerana kita warganegara Malaysia maka secara kolektif kita dikenali sebagai “Malaysian” seperti orang Eropah, Cina, India, Arab, Afrika, Mexico, Filipina dan Vietnam yang menjadi warganegara Amerika Syarikat secara kolektif dipanggil “American”.
Sebaliknya, kenyataan “Malay first” Muhyiddin itu dikutuk dan beliau digambarkan sebagai perkauman, anti-1Malaysia dan mensabotaj Perdana Menteri.
Apa yang hendak dihairankan. Itulah juga yang berlaku kepada Dr Mahathir beberapa ketika sebelum menggantikan Allahyarham Tun Hussein Onn pada tahun 1981. Beliau ditakuti oleh orang bukan Melayu, khasnya Cina kerana kononnya beliau “Malay Ultra” – pelampau Melayu.
Orang bukan Melayu, khususnya Cina, yang Mohd Najib tuduh penyebab “tsunami Cina” pada 5 Mei lalu tentulah tidak mahu kepemimpinan Umno dan kerajaan kuat.
Kalau kepemimpinan Umno dan kerajaan menjadi lebih kuat dan lebih banyak orang Melayu kembali menyokong Umno, tentulah lebih sukar bagi mereka membuat tuntutan dan memberi peluang Pakatan Rakyat menang lebih besar pada PRU akan datang. Jadi kepemimpinan Umno dan kerajaan yang lemah atau tidak terlalu kuat adalah baik bagi sesetengah pihak.
Lihat sajalah bagaimana Kabinet terpaksa menelan ludahnya sendiri dengan menarik balik Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2013 setelah ditentang bukan sahaja oleh pembangkang, tetapi oleh beberapa orang ahli Kabinet sendiri.
Ini adalah manifestasi kegagalan Kabinet membuat penelitian mendalam dan keputusan jitu dengan mengambil kira segala aspek rang undang-undang berkenaan. Ia juga menjadi ukuran prestasi Jabatan Peguam Negara di bawah Peguam Negara Abdul Ghani Patail sebagai penggubal undang-undang. Ironinya, Muhyiddin yang mengumumkan penarikan balik rang undang-undang itu bagi pihak Kabinet!
Kesimpulannya, terpulanglah kepada pemimpin Umno memilih yang mana satu lebih penting – dilema mereka kerana kononnya hendak beradab atau masa depan parti.
Mereka boleh memilih antara menyelamatkan kedudukan mereka dan membiarkannya menjadi parti eksklusif, parti rumah tangga, parti golongan feudal dan parti yang bermuka-muka atau berkorban sedikit untuk menjadikan Umno terangkum, berani dan dinamik demi bangsa, agama dan negara.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment