Di tengah-tengah langkah penjimatan, penulis-penulis blog pro-Umno tampil mempersoalkan sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini terbang ke seluruh negara menggunakan jet mewah baru.
Dalam tulisan di blog, antaranya oleh Big Dog dan RockyBru, mereka membangkitkan pesawat Airbus ACJ320 dengan nombor 9H-AWK – dikenali "Perdana 2" atau "NR2" – yang kebetulan sama dengan huruf singkatan Najib.
Pesawat itu didaftarkan di Malta dan disewa daripada kumpulan penerbanganComlux.
Menurut laman web penerbangan itu Aviation Week, Jet Premier One (M) Sdn Bhd, syarikat yang menguruskan penerbangan orang kenamaan di Malaysia, termasuk Najib, ada menyewa Airbus ACJ320 daripada Comlux.
Sewaan itu dikatakan bertujuan menggantikan sementara pesawat yang biasa digunakan Najib, Airbus ACJ319.
ACJ319 dengan nombor 9M-NAA beroperasi menggunakan nama “NR1” atau “Perdana 1” dan merupakan pesawat rasmi perdana menteri, sama seperti Air Force One yang digunakan presiden Amerika Syarikat.
Pejabat PM beri penjelasan
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri hari ini mengeluarkan penjelasannya berhubung perkara dibangkitkan itu. Kenyataan penuhnya seperti di bawah:
Pejabat Perdana Menteri ingin menarik perhatian berhubung laporan blog mengenai penggunaan pesawat khas untuk Perdana Menteri.
Laporan tersebut mengandungi beberapa fakta yang salah dan tidak tepat yang boleh menimbulkan persepsi yang tidak tepat kepada penggunaan pesawat khas tersebut.
Kerajaan sebelum ini memiliki 5 buah pesawat khas iaitu ACJ A319, BBJ, Fokker F28, Global Express dan Falcon 900 yang diperuntukkan untuk kegunaan YDP Agong, YAB Perdana Menteri, dan YAB Timbalan Perdana Menteri.
Tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan, pesawat-pesawat ini juga boleh diluluskan untuk kegunaan oleh DYMM Sultan-sultan dan TYT Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, YB Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, tetamu-tetamu Kerajaan Persekutuan dari negara asing, Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan serta orang-orang kenamaan.
Pada Ogos 2012, pesawat Fokker F28 telah dilupuskan kerana telah berusia lebih 30 tahun dan tiada pesawat gantian dicadangkan.
Pada tahun lepas, pesawat BBJ dan ACJ A319 telah dijadualkan untuk menjalani proses penyelenggaraan wajib. Pesawat BBJ menjalani urusan penyelenggaraan di antara Januari-Julai 2013 sementara ACJ319 di antara 15 Jun-8 Oktober.
Sejajar dengan itu, Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab atas urusan pesawat khas Kerajaan telah mengambil keputusan menyewa sebuah pesawat lain ACJ A320 bagi menampung kekurangan pesawat.
Pesawat ACJ A320 ini disewa di antara 1 Februari - 31 Disember 2013 setelah mendapati pesawat BBJ memerlukan lebih masa bagi urusan penyelenggaraan.
Penggunaan pesawat khas membolehkan Ketua Negara dan Ketua Kerajaan bergerak di dalam dan luar negara dengan keadaan keselamatan yang lebih terjamin. Selain itu, Anggota Pentadbiran yang sibuk dengan pelbagai urusan tidak terikat kepada jadual perjalanan komersil di samping kepentingan menjaga imej negara.
No comments:
Post a Comment