Najib Makin Lemah, Muhyiddin Pun Mula Mengorak Langkah - Oleh : Shahbudin Husin
Ketika ini sedang berlangsung perhimpunan aman Turun bagi membantah kenaikan harga barang dan
peningkatan kos sara hidup. Dilaporkan ribuan rakyat sedang berhimpun di tiga lokasi yang telah
itetapkan iaitu di depan Kompleks Sogo, Masjid Jamek dan Pasar Seni untuk menuju ke Dataran
Merdeka sebagai destinasi sebenar perhimpunan tersebut.
Memandangkan kehadiran peserta demonstrasi akan bercampur dengan hadirin yang ingin menyambut
ketibaan tahun baru, tidak dapat dielakkan bahawa kehadiran adalah dijangka melimpah-ruah.
Dalam masa yang sama, terdapat juga mereka yang hadir untuk meraikan tahun baru tetapi turut
membantah kenaikan harga barang yang sedang berlaku sekarang ini atau dalam ertikata lain hadir
dengan dua tujuan.
Namun, bagaimanapun sambutan rakyat terhadap perhimpunan Turun ini, hakikat yang nyata ialah
kedudukan Najib sedang merudum di mata umum. Jika perhimpunan berjaya dengan aman serta
kehadiran puluhan ribu orang dapat dicatatkan, gambarannya langkah Najib menaikkan harga minyak,
tarif letrik dan merasionalisasikan subsidi sehingga mewujudkan rantaian kenaikan harga barang adalah
tindakan yang salah dan tidak diterima rakyat.
Jika berlaku sesuatu yang buruk yang melibatkan keganasan atau kecederaan, balanya lagi buruk buat
Najib. Beliau dan kerajaannya akan disorot oleh seluruh dunia sebagai kerajaan yang keras, tidak
bertolak ansur dan sanggup berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa.
Berjaya atau gagal perhimpunan Turun ini, impaknya tetap menyusahkan Najib. Tambahan pula
dalam keadaan seperti ini, beliau juga tidak berada di dalam negara dan sedang bercuti
bersama keluarganya. Walaupun hebahan dan maklumat tentang perhimpunan ini sudah lama
diketahui, nampaknya bagi Najib, cuti tetap cuti.
Perhimpunan ini bukan saja membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup tetapi
yang lebih penting ialah menolak pendekatan Najib yang mahu memansuhkan subsidi
secara perlahan-lahan (istilah yang digunakan rasionalisasi) sehingga menyebabkan harga
minyak dan tarif letrik turut mengalami kenaikan.
Najib lebih melihat penjimatan susbsidi bernilai RM46 bilion setahun sebagai jumlah yang
besar untuk menambah tabungan negara. Dalam Perhimpunan Agung UMNO
baru-baru ini juga Najib mempertahankan bahawa perbelanjaan subsidi yang besar
yang hampir menyamai belanja pembangunan RM49 bilion adalah sesuatu yang tidak
munasabah dan negara tidak mungkin mampu bertahan selama-lamanya dengan kaedah itu.
Masalahnya ialah rakyat telah menerima subsidi dalam bentuk pengurangan harga barangan
keperluan harian sudah terlalu lama dan pemansuhan secara drastik serta berturut-turut
membuatkan ramai yang terbeban kehidupannya, lalu bangkit dan menjerit.
Dengan kedudukan Najib yang semakin melemah akibat penolakan rakyat terhadap
dasar merasionalkan subsidi sehingga meningkatnya banyak harga barangan serta kehidupan
rakyat menjadi semakin terhimpit, hari ini Muhyiddin Yassin yang baru kembali bertugas
setelah bercuti di luar negara seakan telah membawa khabar gembira buat rakyat dengan
menyatakan kerajaan akan melihat semula dasar rasionalisasi subsidi yang dilakukan sebelum ini.
Muhyiddin menyatakan subsidi kerajaan perlu dilihat semula secara lebih holistik dalam
usaha meringankan beban kehidupan rakyat, terutama kumpulan sasaran.
Ini bermakna bahawa Muhyiddin amat menyedari kenaikan harga barang ini amat membebankan
rakyat dan menjadi utama kemarahan mereka terhadap kerajaan ini. Lantaran itu, beliau mahu
mengkaji dan melihat semula dasar yang telah dilaksanakan itu. Ini dipercayai langkah awal
meredakan kemarahan ramai terhadap kerajaan.
Walaupun sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin sebenarnya turut bersetuju dengan
dasar rasionalisasi subsidi yang dilakukan Najib sebelum ini, nampaknya beliau mula berubah
nada. Muhyiddin mula menunjukkan beliau pro rakyat kerana menyedari rakyat tidak gembira
dengan kenaikan harga barang sekarang ini.
Jika kita masih ingat, tindakan Muhyiddin ini tidak ubah seperti apa yang dilakukannya
terhadap Pak Lah dahulu. Meskipun tarikh pengunduran Pak Lah sebagai Perdana Menteri
telah dimaklumkan kepada kabinet dan MT UMNO serta dipersetujui pada awalnya,
tetapi oleh kerana adanya rungutan bahawa tarikh yang dipilih oleh Pak Lah itu terlalu lama,
Muhyiddin akhirnya bersuara di Singapura mendesak agar tarikh itu dipercepatkan.
Desakan itu akhirnya disambut oleh banyak pihak sehingga Pak Lah akur menyerahkan
kuasa kepada Najib pada April 2009.
Dengan kedudukan Najib yang kian merosot dan tidak lagi digembirai oleh majoriti rakyat,
Muhyiddin seperti sedang mengorak langkah menampilkan dirinya sebagai hero rakyat,
sambil menambahkan lagi tekanan terhadap Najib. Melalui jaminan untuk mengkaji semula
pemansuhan subsidi, tidak diragui lagi bahawa Muhyiddin bakal lebih disukai dan diberikan
sokongan selepas ini.
Najib terlihat berkeras mahu mengekalkan dasar memansuhkan subsidi dan bergantung
banyak kepada Pemandu yang diketuai oleh Idris Jala tetapi rakyat jelas tidak
gembira dengan semua itu. Sebagaimana mereka meluat dengan kenaikan harga barang
dan kos sara hidup, begitulah juga meluatnya rakyat terhadap Idris Jala.
Isunya di sini bukanlah sama ada kerajaan terguling atau tidak melalui perhimpunan
Turun ini, tetapi apakah Najib masih mampu membawa kejayaan kepada BN dalam
PRU 14 nanti. Satu demi satu bencana politik yang dihadapi Najib meletakkan
kuasa semakin rapuh dalam genggamannya.
Sementara kedudukan BN terlihat semakin terumbang-ambing dan mungkin kecundang
pada pilihanraya 2018 nanti, Muhyiddin dengan jaminan mahu mengkaji semula subsidi
seperti sedang menampilkan dirinya sebagai harapan baru untuk mengembalikan semula
sokongan rakyat terhadap BN dan kerajaan.
Adakah beliau akan berjaya dalam misinya kali ini sebagaimana kejayaannya mengundurkan
Pak Lah dahulu? Hanya masa yang akan menentukan tetapi bidalan selalu mengingatkan,
cencarau makan petang memang selalu pulang kenyang. (SH 31/12/13)
- http://shahbudindotcom.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment